Thursday, November 24, 2005

KEUNGGULAN SYARIAT ISLAM

SEBAGAI agama penutup, syariat yang dibawa oleh Islam adalah berbeza dengan syariat-syariat lain. Syariat Islam datang bertujuan menghilangkan pertindihan yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat manusia. Ia menyatukan di antara agama, dunia dan akhirat serta memberikan hak keadilan kepada seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, jantina, tanahair, bahasa mahupun kedudukan mereka.

Syariat Islam merupakan suatu syariat yang utuh, tidak pernah mengalami penghapusan mahupun perubahan. Syariat Islam berkeadaan berkekalan dan berterusan - tidak berlaku nasakh, perubahan dan penggantian terhadap hukum hakam agama dan perundangannya.

Sesuai dengan sifatnya sebagai suatu syariat yang lengkap lagi syumul, syariat Islam bukan sahaja mengatur bagaimana manusia perlu memelihara ikatan hubungan dengan yang menciptanya - seterusnya mengabdikan diri dengan penuh ketakwaan dan keikhlasan kepada pencipta tersebut (Allah), tetapi juga mengandungi tatacara kehidupan yang mencakupi segala aspek dan terbuka luas - merangkumi segala bidang kehidupan manusia seperti persoalan akidah, ibadah, akhlak, muamalah, politik, kenegaraan, kemasyarakatan, hukum jenayah, hukum kekeluargaan, kebudayaan dan norma-norma sosial, persoalan antarabangsa dan sebagainya sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang yang beriman” - (An-Nahl: 89).

Hakikat kesyumulan dan keunggulan syariat yang dibawa oleh Islam bukan sahaja diperakui oleh Allah dan seluruh umat Islam, tetapi juga diperakui oleh kalangan cendekiawan dan sarjana Barat. Seorang ahli falsafah Barat, Bernard Sahuw dalam satu tulisannya antara lain pernah menyebutkan: “Agama Muhammad sungguh menduduki tempat tertinggi yang mencakupi segala keperluan vital yang menakjubkan. Sesungguhnya Islam adalah satu-satunya agama besar yang mampu menguasai segala lapangan perkembangan kehidupan, maka saya mengakui Muhammad sebagai penangkis kemanusiaan,
dan orang seperti dialah yang mampu memimpin dunia moden sekarang ini dan mendapat kejayaan dalam memecahkan segala masalahnya.”

Bagi Dr. Izcou Insabato pula, beliau berpendapat perbahasan mengenai syariat Islam jauh lebih tinggi nilainya daripada hukum-hukum yang ada di Eropah, bahkan katanya lagi syariat Islamlah yang mampu memberikan dasar-dasar hukum kepada dunia.

Al-Quran dan al-Sunnah merupakan asas serta kekuatan yang dijadikan sumber hukum atau rujukan di dalam syariat Islam. Tidak ada satupun bidang dari bidang-bidang kehiduan manusia yang tidak disentuh oleh al-Quran. Sekiranya wujud satu-satu perkara yang tidak diketahui oleh manusia, dan manusia pula gagal mendapatkan jawapannya daripada al-Quran, ini tidak bermakna al-Quran telah lupa menyebutkannya. Akan tetapi manusialah yang tidak mengetahui di mana letaknya hukum-hukum tersebut di dalam al-Quran. Dalilnya, firman Allah yang bermaksud: “Tidak Kami lupa (meninggalkan) sesuatupun di dalam Kitab (al-Quran) ini” - (Al-An’am: 38).

Kekuatan dan kecemerlangan umat Islam adalah bergantung kepada sikap positif mereka terhadap al-Quran. Al-Quran bukan sahaja kitab untuk dibaca, tetapi harus difungsikan kepada masyarakat dan harus disosialkan. Dalam hal ini, amalan mempraktikkan segala isi kandungannya di dalam kehidupan seharian adalah merupakan suatu perkara yang perlu dan mesti dilakukan.

Sebagai kitab yang memberi petunjuk dan hidayah serta memberi rahmat dan nikmat kepada manusia dalam mencari kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, al-Quran telah mengajak umat manusia kembali kepada petunjuk dan hukum-hukum agama sekiranya mereka mahu menuju kepada kecemerlangan, kemuliaan dan kemenangan. Al-Quran juga merupakan jambatan untuk mengukuhkan keamanan dan ketenteraman.

Di sudut lain, al-Quran telah menyeru ke arah peningkatan ilmu dengan bermacam metod dalam lebih 750 ayatnya. Ia juga menyeru ke arah mencari metod-metod penyelidikan ilmiah baik berupa akliah (mental), tajribiah (eksperimen), naqliah samawiyyah (wahyu dari langit), zauqiah isyraqiyah (pancaindera) dan sebagainya.

Di bawah galakan dan bimbingan ini telah meledakkan dunia Islam dengan kebangkitan ilmu pengetahuan serta melahirkan pelbagai bidang ciptaan ilmu moden seperti biologi, botani, matematik, geografi, fizik, kimia, optik, ilmu kedoktoran, astronomi dan sebagainya yang dicetuskan oleh para ulama dan cendekiawan Islam di zaman lampau.

Nama-nama seperti Abu Zakaria ar-Razi, Jabir bin Hayyan, Abu Ali Ibnu Sina, Asy-Syarif al-Idris, Ali bin al-Haitsan, Abu Hanifah al-Dainuri, Abdul Qasim az-Zahrawie, Abu Zakaria al-Awam, Abul Banna, Ibnu Khaldun, Ibnu Rusyd, Abu Bakar al-Khuwarizmi dan beberapa orang lagi bukan sahaja dikenali oleh umat Islam, bahkan turut terpahat di dada dan menjadi buah bibir masyarakat Barat.

Andaikata Islam bukan agama ilmu pengetahuan dan al-Quran pula tidak mampu mengembangkannya, sementara ajarannya pula bukan tanda-tanda kebangkitan dan pergerakan, nescaya masyarakat dunia pada hari ini tidak akan kedengaran nama-nama seperti yang disebutkan itu dan tidak akan dapati adanya orang-orang Islam yang telah membangunkan dasar peradaban serta kebudayaan yang mengisi dunia dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan sains moden.

Secara pasti, kewujudan tokoh-tokoh sebagaimana yang disebutkan itu membuktikan kepada dunia bahawa tiada ruang pertembungan di antara Islam dengan ilmu pengetahuan dan tidak pernah berlaku peperangan atau permusuhan dalam hati seseorang Islam antara keperluan ilmu dengan tuntutan akidah. Apa yang dikehendaki oleh Islam sebenarnya adalah sentiasa menyeru ke arah penyelidikan ilmu serta menggalakkan mereka yang mampu berbuat demikian membongkar hakikat rahsia di sebalik kewujudan alam ini disamping mencari alasan, sebab musabab dan juga hubungan yang terdapat dalam kewujudan itu. Dan ilmu pengetahuan itu pula mestilah hidup di bawah naungan akidah yang dikehendaki oleh Islam.

Inilah dia hakikat mukjizat ilmiah yang terdapat di dalam al-Quran dan hakikat ini telah diberi pengakuan sendiri oleh ilmuan Barat seperti Edward Gibbon misalnya. Malah Gibbon antara lain pernah berkata: “Antara al-Quran dan Bibel terdapat perbezaan yang besar. Bibel tidak mengandungi peraturan-peraturan yang berhubungan dengan keduniaan. Yang terdapat di dalamnya hanyalah cerita-cerita tentang kesucian diri. Bibel tidak dapat mendekati apa lagi akan menyamai al-Quran. Al-Quran tidak hanya mengatur apa yang bersangkutan dengan amal-amal keagamaan, tetapi juga mengupas ekzos-ekzos politik kenegaraan dan keduniaan. Al-Quranlah yang menjadi sumber undang-undang dasar, memberi keputusan dalam sesuatu perkara yang bertalian dengan urusan keduniaan mahupun yang berhubungan dengan kerohanian.”

Keuniversalan syariat Islam bukanlah hanya merupakan satu ciri khas bagi ketinggian al-Quran dan bukanlah pula merupakan dakwah yang hanya memanggil manusia kepada ‘berkasih-kasihan’ atau ‘menjadikan mereka sebagai suatu ummah’, tetapi sendi akhlak yang dikemukakan adalah sendi yang terbina di atasnya kaedah-kaedah syariah dan syakhsiyah.

Keunggulan syariat Islam juga tidak terlepas dari pemikiran dan kaedah-kaedah prinsip yang menyesuaikannya dengan kemajuan serta perkembangan zaman. Justeru, pola pemikiran yang dibawa oleh syariat Islam selain dari menggalakkan umatnya menuntut atau mencari ilmu pengetahuan ialah menganjurkan kebebasan berfikir, kebebasan berkeyakinan dan kebebasan mengeluarkan pendapat. Dan pemikiran tersebut pula mengandungi teori serta amalan praktikal yang tidak memisahkan di antara agama dengan negara, dunia dengan akhirat, akal dengan jiwa dan sentiasa menjalinkan hubungan yang erat di antara ilmu, kebudayaan dan falsafah.

Lantaran itu syariat Islam membenarkan sebarang masalah yang tidak ada di dalam nas al-Quran atau al-Sunnah dibincangkan di peringkat umum atau diserahkan kepada ijtihad zamani (para ulama) dengan menempuh jalan qiyas yang benar atau dengan masalah mursalah, istihsan dan dalil-dalil lainnya yang telah ditetapkan. Malah ijtihad para ulama atau para mujtahid yang luas ilmu pengetahuannya adalah merupakan salah satu daripada disiplin ilmu atau sumber hukum di dalam perundangan Islam selain daripada al-Quran dan al-Sunnah.

Bagaimanapun, sebarang masalah yang qati’e (yang ada nas di dalam al-Quran dan al-Sunnah) seperti akidah, rukun iman, hukum ibadah, hukum jenayah, hukum kekeluargaan dan pembahagian harta pusaka, talak, iddah dan sebagainya tidaklah dapat ditempuh dengan jalan ijtihad dan tidak pula dapat diubah hukumnya yang asal kerana nasnya adalah jelas. Dalam hal ini para ulama usul telah berkata: “Tidak ada tempat berijtihad di dalam perkara yang sudah ada nasnya.”

Sesiapa yang berijtihad dalam mengembang atau mengubah hukum asal yang telah disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah bererti ia telah merosak dan menghancurkan kesepaduan syariat serta memerangi Allah Taala dan Rasul-Nya, juga telah melepaskan dirinya daripada ikatan Islam.

Dalam keadaan lain, syariat Islam tidak mempunyai perbezaan di antara orang berkulit hitam dengan orang berkulit putih, di antara bangsa Arab dengan bukan bangsa Arab, di antara lelaki dengan perempuan, di antara raja dengan rakyat jelata atau di antara orang merdeka dengan hamba abdi. Jadi, bendera assabiyah kepada kaum, bangsa, warna kulit dan sebagainya sama sekali tidak wujud di dalam syariat Islam sebagaimana yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah dalam satu kutbahnya yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhan kamu Esa dan bapa kamu satu. Ingatlah! Tiada kelebihan antara orang Arab dengan yang bukan Arab, dan tiada juga di antara orang yang berkulit hitam dengan orang yang berkulit merah melainkan dengan takwa. Sebaik-baik orang di kalangan kamu ialah yang paling bertakwa di kalangan kamu.”

Justeru, sasaran utama hukum Islam ialah kepada seluruh lapisan umat manusia dan ia bukan hanya untuk segolongan tertentu sahaja. Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada sekelian manusia, sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah (diutuskan oleh Allah) kepada kamu semua” - (Al-A’raf: 158).

Selanjutnya dalam ayat lain Allah Taala berfirman lagi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan bagi menjadi saksi yang menerangkan kebenaran kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang yang didakwa itu kaya atau miskin, maka janganlah terhalang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa, kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu janganlah kamu turut hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan atau enggan menegakkan keadilan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam apa yang kamu lakukan” - (An-Nisa’: 135).

Islam juga meletakkan kewajipan beriman dan menunaikan tuntutan rukun-rukun iman dan Islam kepada lelaki dan perempuan, begitu juga dengan hukum-hukumnya kecuali dalam beberapa perkara yang dikecualikan oleh syarak kepada orang lelaki atau orang perempuan sahaja kerana perbezaan fitrah dan kemampuan masing-masing. Bagaimanapun, mereka tetap diberi pahala yang sama dari segi kurniaan-Nya sekiranya bertakwa dan diberi balasan yang sama adil sekiranya bersikap durhaka.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Islam, lelaki dan perempuan yang beriman, lelaki dan perempuan yang tetap di dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang bersabar, lelaki dan perempuan yang khusyuk, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara
kehormatan mereka, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menjadikan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar” - (Al-Ahzab: 35).

Kelebihan yang dimiliki oleh hukum Islam ialah kerana ia merupakan hukum ciptaan Allah, Tuhan kepada manusia dan seluruh alam. Sekiranya hukum itu dibuat oleh manusia dari satu golongan, nescaya akan terjadi fanatisme terhadap golongannya atau terhadap bangsa dan negaranya. Akan tetapi keadilan yang dibawa oleh hukum Islam dari segi hak kemanusiaan adalah dalam bentuk kesejagatan dan menanamkan sifat persaudaraan di antara seluruh umat Islam sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil kepada mereka. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa” - (Al-Ma’idah: 8).

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku kaum, supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain, sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, dan Allah itu Maha Mengetahui Lagi Maha Mengenali” - (Al-Hujurat: 13).

0 Comments:

Post a Comment

Links to this post:

Create a Link

<< Home